murabbitun

murabbitun

Thursday, 22 October 2015

Guru yang disanjungi!

Dedikasi khas buat semua guru yang telah menyampaikan ilmu kepada saya.

Sungguhpun kita tidak sebijak yang diharapkan, sewajibnya ke atas kita untuk menghormati guru. Sungguhpun kita tidak menyukainya, sewajibnya ke atas kita untuk menyayangi insan bernama guru.

Bila dewasa kini , baru saya mengerti betapa pentingnya kita menjaga adab dan menghormati guru.
Syair berikut boleh kita hayati untuk membantu kita memahami adab sebagai penuntut ilmu.

***

Terhadap guru hendaklah hormat
Petuanya didengar amanahnya diingat
petunjuknya diikut secara cermat
pengajarannya diterima sepenuh minat

terhadap guru hendaklah sopan
lembutkan lidah dalam percakapan
jernihkan muka bila berhadapan
dahulukan guru bila berjalan

terhadap guru elokkan perangai
jangan sekali memandai-mandai
nasihatnya diikut petua dipakai
tekun belajar jangalah lalai

terhadap guru jagnan menyanggah
tunjuk ajarnya jangan dibantah
bila bertanya elokkan tingkah
supaya belajar beroleh berkah

terhadap guru jangan menyombong
membusungkan dada mengembangkan hidung
petuanya diambil amanah dijunjung
supaya berkahnya sambung bersambung

terhadap guru bersangka baik
lebih kurangnya jangan diuisk
ambil ilmunya secara baik
bagai menimba air di tasik

terhadap guru janganlah ragu
petuanya dinanti amanah ditunggu
jangan dihitung masa berlalu
supaya semangatmu tiada layu

terhadap guru hendaklah kasih
tunjukkan hati lurus dan bersih
jangan dikira penat dan letih
ilmu ditimba menjadi benih

terhadap guru jangan berdusta
bercabang lidah bersilang kata
supaya tercapai sebarang pinta
hiduppun tidak beroleh nista

terhadap guru jangan khianat
di muka memuji di belakang khianat
bersihkan hati luruskan niat
supaya ilmumu beroleh berkat

terhadap guru jangan berdendam
baiknya diambil buruknya dipendam
daripada bercanggah eloklah diam
supaya keberkahannya tiada padam

terhadap guru jangan mengumpat
jangan pula hujat menghujat
supaya ilmu beroleh manfaat
sejahtera hidup dunia akhirat

kepada guru hendaklah patuh
tunjuk ajarnya dijadikan suluh
diamalkan dengan bersungguh sungguh
supaya hidup menjadi senonoh

kepada guru banyak bertanya
supaya terbuka rahsia ilmunya
fahamnya sampai ke akar umbinya
dalam beramal faham hakikatnya

kepada guru hendaklah rapat
supaya banyak ilmu didapat
ada yang tersurat, ada tersirat
fahamnya sampai pada makrifat

maruah guru hendaklah dijaga
peliharalah aib dengan malunya
bantulah segala keperluannya
supaya kita beroleh berkahnya

Syair Tunjuk Ajar
disunting daripada
Buku Kesantunan dan Adab Melayu

Tenas Effendy