murabbitun

murabbitun

Saturday 20 June 2015

Perlabuhan impian

Cuti pertengahan semester masih berbaki sehari lagi sebelum mula kuliah lusa. Aku masih mengira-ngira sejumlah bakti yang telah dilunaskan semasa cuti ini. Juga memasang impian untuk melakukan itu dan ini. Namun, semuanya sekadar sahaja, tiada yang dapat aku banggakan.

Cuti kali ini, aku maksimumkan tenagaku untuk menunaikan tanggungjawab sebagai anak sulung. Seperti gadis lain, mengemas, memasak (lebih tepat tolong masak), menyusun, ambil adik kelas tambahan, menziarahi nenek atuk, bantu menjaga maksu berpantang, bergurau dengan adik, berceloteh dan ketawa sepuasnya. 

Tidak lupa juga, membeli buku dan baca buku. Kesukaan. 

Juga, menghadiri beberapa mesyuarat program hujung tahun ini dan menepati tuntutan janji gerak kerja yang telah aku ikrarkan dahulu. 

Itu yang sempat aku buat. 

Yang sedang aku buat, menyusun diri dalam bulan Ramadhan ini. Seringkali binaan diri yang aku susun, aku yang robohkan semula. Lelah menyusunnya kembali. Teruskan usaha, kata azimat. 

Impian yang tidak sempat aku laksanakan, banyak. 

Menulis nota di ruangan untuk adik-adik di kampus yang bakal aku tinggalkan. Masa yang bersisa 5 bulan bersama mana mungkin dapat aku lisankan semuanya. Jadi ruangan ini ingin sekali aku selitkan bait kata buat mereka. Tapi ia masih sekadar impian. Usahanya belum, insya-Allah. Kerna sayangkan mereka akan aku tulis juga. 

Juga merakam satu muhasabah akibat kemelut yang melanda. Juga di sini ruangan yang sering aku tinggal sepi. 

Menghabiskan bacaan buku-buku. 

Menghadiri kuliah mingguan.

Mencari pengisian. 

***
Jangan ditanya mengapa impian begitu banyak tidak ditunaikan. Aku pun tak pasti mengapa berani mencipta angan namun usahanya ke laut. Cuti telah sampai ke perlabuhannya, namun impian itu masih ada perlabuhan lain yang sedang menanti. Keep moving foward! 


AfNadz Hanif
20.6.15
4.01 pm

Friday 12 June 2015

Patah Tumbuh Hilang Berganti

Entri ini saya nukilkan sebelum melelapkan mata. Terasa ingin berkongsi meluah rasa.

***

Saya sayang anak usrah aka adik usrah saya, sahabat-sahabat saya.
Meluangkan masa dengan mereka adalah perkara yang jarang dapat saya buat lantaran dek kesempitan masa dan tuntutan kerja. Adakah itu alasan semata? Mereka juga amanah untuk saya.

Hari ini saya meluangkan masa dengan mereka, mendengar mereka bercerita, bercakap dan bertanya soalan. Sesuatu yang mereka tak tahu ialah saya sentiasa 'memerhati' semasa mereka berceloteh. Manisnya senyuman, halus perwatakkan, matangnya hujah dan celiknya pemikiran.

Mereka sudah menginjak dewasa rupanya.

***

Kadang-kadang kehilangan sesuatu membuatkan kita nampak apa yang kita masih ada. Mungkin sebab itu Allah menciptakan kematian dan kehilangan kerana untuk kita merasa yang Allah saja yang kita ada, bukan manusiawi atau duniawi.

Pernikahan sahabat baik tempoh hari menggembirakan saya. Tulus hati berat untuk melepaskan, namun mesti wali dan keluarganya lebih berat untuk melepaskan dia. Sebagai sahabat saya takut dia hilang dari saya.

Setelah difikirkan kembali, pernikahan itu menyambung silaturahmi, bukan memutuskan persaudaraan. Juga harapan saya melihat dia bahagia dan moga saya jumpa dia di syurga nanti. (sebab lepas dia kawen dah tak boleh nak 'ngok ngek ngok ngek' sama sama sukahati bila2 masa). Jadi, redha dan bergembira.

Selepas 'pemergian' dia, baru saya sedar dengan jelas dan terang yang saya punya ramai sahabat serta teman lain yang sentiasa ada untuk saya. Betapa cuainya saya sebelum ini. Saya tidak menghargai kehadiran mereka dengan baik.

Sekarang saya cuba untuk jadi lebih baik untuk mereka sahabat dan keluarga. Masa yang berbaki perlu digunakan sebaiknya. Tahun terakhir di kampus harus dimanfaatkan untuk mengumpul memori bersama mereka buat penawar rindu kelak. Ada yang bakal pulang ke Borneo, hanya 2 orang di negeri yang sama. Sahabat kita boleh berjumpa kembali? Tiada jaminan.

Saksikan sahabat, aku kasih padamu. (walaupun korang macam tak percayakan bila aku cakap macamni)

***
Kehilangan itu akan digantikan dengan yang lebih baik. Bergembiralah jika anda kehilangan.

Patah tumbuh, hilang berganti.

Kerana Allah Maha Baik, tidak sekali zalim kepada hambanya.

AfNadz Hanif
13 Jun 2015
1.05 pagi