Mari hayati pesanan isteri 'Auf bin Muhlim Ashaibani
kepada puterinya ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri
Kandah. Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada
raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:
"Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk
kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia
sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.
Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa
cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa
cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan
untuk mereka.
Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan
rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk
berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang
baru. Kerana itu, jadilah 'budak' wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi
'budak' bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.
Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan
menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.
Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat
dengan baik kepadanya.
Ketiga dan keempat, memerhatikan tempat pandangan matanya
dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu
dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.
Kelima dan keenam, memerhatikan waktu tidur dan waktu makannya,
kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa
marah.
Ketujuh dan kelapan, menjaga hartanya dan memelihara
kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat
anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.
Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya
dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti
kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman
daripada pengkhianatannya.
Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika
dia bersedih atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu
orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.
Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu
dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.
Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang
kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan
mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu
sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu."
Nasihat di atas seharusnya diterima dengan beberapa asas
penting:
Suami yang dicari adalah suami yang beriman lagi taat
kepada perintah Allah.
Ketaatan kepada suami adalah wajib dengan syarat beliau
tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah.
Begitulah hukum Allah, di sana sentiasa ada 'dua bahagian
muka syiling'. Kalau diperhati setiap nasihat di atas, perbuatan kita yang
positif akan menghasilkan reaksi dan tindak balas positif juga dengan izin
Allah.