murabbitun

murabbitun

Saturday 20 June 2015

Perlabuhan impian

Cuti pertengahan semester masih berbaki sehari lagi sebelum mula kuliah lusa. Aku masih mengira-ngira sejumlah bakti yang telah dilunaskan semasa cuti ini. Juga memasang impian untuk melakukan itu dan ini. Namun, semuanya sekadar sahaja, tiada yang dapat aku banggakan.

Cuti kali ini, aku maksimumkan tenagaku untuk menunaikan tanggungjawab sebagai anak sulung. Seperti gadis lain, mengemas, memasak (lebih tepat tolong masak), menyusun, ambil adik kelas tambahan, menziarahi nenek atuk, bantu menjaga maksu berpantang, bergurau dengan adik, berceloteh dan ketawa sepuasnya. 

Tidak lupa juga, membeli buku dan baca buku. Kesukaan. 

Juga, menghadiri beberapa mesyuarat program hujung tahun ini dan menepati tuntutan janji gerak kerja yang telah aku ikrarkan dahulu. 

Itu yang sempat aku buat. 

Yang sedang aku buat, menyusun diri dalam bulan Ramadhan ini. Seringkali binaan diri yang aku susun, aku yang robohkan semula. Lelah menyusunnya kembali. Teruskan usaha, kata azimat. 

Impian yang tidak sempat aku laksanakan, banyak. 

Menulis nota di ruangan untuk adik-adik di kampus yang bakal aku tinggalkan. Masa yang bersisa 5 bulan bersama mana mungkin dapat aku lisankan semuanya. Jadi ruangan ini ingin sekali aku selitkan bait kata buat mereka. Tapi ia masih sekadar impian. Usahanya belum, insya-Allah. Kerna sayangkan mereka akan aku tulis juga. 

Juga merakam satu muhasabah akibat kemelut yang melanda. Juga di sini ruangan yang sering aku tinggal sepi. 

Menghabiskan bacaan buku-buku. 

Menghadiri kuliah mingguan.

Mencari pengisian. 

***
Jangan ditanya mengapa impian begitu banyak tidak ditunaikan. Aku pun tak pasti mengapa berani mencipta angan namun usahanya ke laut. Cuti telah sampai ke perlabuhannya, namun impian itu masih ada perlabuhan lain yang sedang menanti. Keep moving foward! 


AfNadz Hanif
20.6.15
4.01 pm

No comments:

Post a Comment