murabbitun

murabbitun

Sunday 2 March 2014

Harapan

Persoalan.
Pernahkan kita merasa marah atau pedih pabila suatu yang kita rencanakan tidak menjadi seperti yang kita harapkan? Contohnya, rancangan untuk pergi bercuti terpaksa dibatalkan kerana ibu bapa tidak mengizinkan padahal rakan-rakan telah kita maklumkan atau berlaku ‘miss-communication ‘ semasa mengendalikan sesebuah program lalu ia tidak menjadi sempurna seperti yang kita harapkan. Mahupun lewat menghantar tugasan sebagai pelajar pada masa yang telah kita jangkakan kerana laptop dijangkiti virus atau file hilang.

‘Dan apa jua bencana, kesakitan yang menimpa kamu maka ia adalah dari tangan-tangan kamu sendiri (dari perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada masa yang sama dikenakan bencana dan sakit itu) Allah mengampunkan sebahagian dosa-dosa kamu. [as-Syura 26:30]

Berasa marah? Tidak puas hati? Manakan tidak. Segala usaha, kerahan tenaga, masa dan idea dikerahkan untuk melaksanakannya. Namun ianya tidak menjadi. Puas kita berfikir dimanakah silapnya. Siapakah yang menggangu perancangan kita. Mencari-cari di manakah jalan penyelesaian agar semuanya mengikut apa yang kita rencanakan.

Namun, sedarkah kita kepada siapa marah tadi kita hamburkan? Bukankah kepada Yang Maha Berkuasa atas segala? Sekalipun kegagalan tadi merupakan kesalahan yang dilakukan oleh salah seorang pekerja atau rakan kita namun lupakah kita bahawa Yang Maha Agung mencaturkan segalanya. Mana mungkin sesuatu yang berlaku itu tanpa pengetahuan Yang Maha Melihat dan Mendengar. Itulah manusia, hamba yang sering khilaf lagi alpa.

Sehebat mana pun manusia, pasti ada kelemahannya. Se’genius’ manapun manusia itu, pasti ada ketikanya dia membuat kesalahan. Manusia hanya hebat jika meletakkan keyakinan dan tawakal kepada Allah sebagai paksinya.

 ‘Mereka merancang, Allah juga merancang. Sesungguhnya Allah ialah sebaik-baik perancang.’[ali Imran 3: 54]

***
Bersyukurlah kita jika pernah mengalami keadaan sedemikian kerana Allah ingin menyedarkan kita bahawa hanya Allah yang layak menentukan segalanya, bukan manusia. Allah ingin menegur kita bahawa hanya kepada Allah kita meletakkan tawakal setelah berusaha. Allah ingin mengingatkan kita bahawa kejayaan itu kurniaan Allah, bukan atas usaha manusia semata. Allah juga sedang memandang kita kerana Allah tidak pernah mengecewakan hamba-hamba-Nya. Yang terbaik itu hanya dalam pengetahuan takdir Allah.

                ‘ …dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik dari kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya.’ [al Baqarah 2: 216]

Setelah itu, pasti Allah akan memberikan jalan kepada permasalahan yang kita hadapi. Jika kita tetap tenang dan yakin bahawa Allah Yang Berkuasa atas segalanya, nescaya pertolongan Allah itu pasti datang dalam apa jua cara.

                ‘ Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.’ [al Insyirah 94: 6]

Yakin (taqwa) dan percaya (tawakal). Itu tugas kita sebagai hamba. Yang lainnya, akan Allah cukupkan bagi kita. InsyaAllah.

‘ …Barang siapa yang bertaqwa kepada jalan Allah nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya. Dan dia memberikan rezaki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapabertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu. [at Thalaq 62: 2&3]

***
Walaupun begitu, takdir Allah tidak menjadi asbab bagi manusia untuk tidak melakukan apa-apa. Sungguhpun takdir kita telah tercatat di atas sana, namun lupakah kita bahawa Allah telah pun berfirman.

                ‘ Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sebelum mereka mengubah keadaan mereka sendiri. Dan apabila Allah menngkehendaki keburukan terhadap sesuatu kaum maka tidak ada ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia. [ar Radd 13: 11]

Dan, kita masih ada doa. Doa itu senjata orang mukmin.

‘Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka): Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepad-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman dengan-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. [al-Baqarah 2: 186]

Kita masih ada harapan, selagi menghembuskan nafas dalam keimanan dan ketaatan.

afnadzhanif

140612:1.11 pm

*artikel ini saya tulis suatu ketika dahulu untuk MyFityan.com.

No comments:

Post a Comment